Feeds:
Posts
Comments

Archive for October, 2011

Bismillah…

Alhamdulillah, hari ini secara rasminya saya telah menamatkan posting saya di jabatan perbidanan dan sakit puan. Lega. Ya, perkara yang paling melegakan bagi seorang pegawai latihan siswazah (HO) adalah apabila lulus setiap posting tanpa extension. Dan Dia – terima kasih Tuhan – Yang menyusun percaturan hidup manusia, mengizinkan saya lulus – dengan cemerlang. Saya hanya meminta sedikit, Dia beri melebihi kehendak saya – ujian untuk saya – adakah termasuk dalam golongan orang-orang yang bersyukur.

Sebelum saya menamatkan posting di bidang ini, tidak sedikit yang bertanya jika saya mahu meneruskan pengajian saya dalam bidang perbidanan dan sakit puan. Saya diam. Sukar untuk saya berikan jawapan. Bukan kerana tidak minat, tetapi saya sendiri berada dalam dilema. Seketika saya teringat komen pengunjung blog dalam review buku ‘Sakit Puan dan Perbidanan: Fardhu Kifayah yang Terabai‘ tulisan Ust Zaharuddin Muhammad. Jika dahulu, semangat berkobar-kobar setelah selesai menjamah ilmu serta dalil-dalil yang dikemukakan oleh Ustaz tersebut. Namun, hari ini, setelah mengalami sendiri realiti di dewan bersalin, saya faham apa yang cuba disampaikan dalam komentar tersebut.

Pertama: Benar sekali, kebiasaannya, pegawai yang menyambut kelahiran di dewan bersalin ialah dari kalangan bidan/jururawat terlatih (midwives) dan HO (lelaki dan perempuan) melainkan dalam kes-kes yang bermasalah, seperti vakum/forcep (assisted delivery), uri lekat selepas bersalin (retained placenta), kepala bayi tidak berada dalam posisi yang betul (malposition), pendarahan berlebihan dan sebagainya. Kes-kes begini akan dikendalikan oleh pegawai perubatan (MO) atau/dan pakar perubatan jika perlu. Jadi, jika kelahiran itu normal, kebarangkalian kelahiran itu disambut oleh doktor lelaki adalah tidak dapat dielakkan – melainkan jika memilih untuk bersalin di hospital swasta. Dan pertambahan MO/pakar wanita dalam bidang ini tidak mengubah kebarangkalian tersebut.

Kedua: Beban kerja yang agak berat (pada pandangan saya). Menjadi pegawai perubatan atau pakar di dalam bidang ini, segala tindakan yang diambil perlu cepat dan tepat memandangkan ia melibatkan dua nyawa, dan kelengahan walau beberapa saat atau minit boleh memberikan impak yang besar terhadap outcome bayi dan ibu. Oleh sebab itu, banyak kes-kes medico-legal (atau bahasa mudahnya saman-menyaman) berlaku dalam bidang ini, yang memburukkan lagi tekanan kerja yang sedia ada. Tambahan pula, bilangan pegawai perubatan (MO) yang tidak ramai menyebabkan kekerapan ‘oncall’ bertambah. (Di tempat saya bekerja, bilangan on call MO lebih banyak daripada HO dalam sebulan). Jadi, banyak pengorbanan yang perlu dilakukan jika seorang doktor muslimah memilih kerjaya dalam bidang ini.

Ketiga: Jadual bekerja yang padat sehingga saya merasakan kurang masa untuk diluangkan untuk keluarga/aktiviti dakwah dan sebagainya.

Saya teringat pandangan Ketua Jabatan O&G di sini; bidang ini tidak sesuai untuk doktor wanita. Katanya lagi, bebanan dan tekanan kerja ini hanya mampu dan sanggup dihadapi oleh doktor lelaki. Mungkin saya bersetuju dari sudut fizikalnya, tetapi jika dipertimbangkan pandangan tersebut dari sudut emosi, saya menyangkal.

Walau bagaimanapun, saya tetap bersetuju dengan saranan Ustaz Zaharuddin dalam bukunya bahawa perlu untuk menambah bilangan doktor muslimah dalam bidang ini. Kerana bidang ini bukan hanya berkaitan dengan kelahiran di dewan bersalin, tetapi juga melibatkan isu emosi – yang pastinya lebih mudah difahami oleh golongan Hawa juga.

Namun, bukan bermakna bidang lain harus diabaikan. Pesakit wanita/muslimah bukan hanya berada dalam bidang ini, tetapi dalam bidang-bidang perubatan lain juga. Timbang-timbangkan kemampuan kita sebagai doktor muslimah. Sejauh mana kemampuan kita untuk menangani sesuatu masalah, sejauh mana pengorbanan yang kita mampu lakukan dan sejauh mana sokongan ahli keluarga (khususnya suami dan anak-anak) dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Saya yakin, selagi mana niat kita untuk membantu agama Allah itu ada, peluang dakwah itu sentiasa terbuka luas walau di mana pun kita berada.

Read Full Post »