Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘My Life’ Category

Sekolah baru

Alhamdulillah, segala puja dan puji bagi-Nya, dengan segala nikmatnya telah sempurna perkara-perkara yang baik.

13-4-13

Tarikh bermulanya ‘sesi persekolahan’ baru. ‘Sekolah’ yang sebelum ini asing, tapi kini saya di dalamnya; setelah mempersiapkan diri sebanyak yang mampu untuk bernaung di bawah tarbiyah seorang Murabbi yang juga masih asing bagi saya. Seorang murabbi, yang setelah dirisik latar belakangnya, yang akhirnya saya dan ahli keluarga saya memberi kepercayaan kepadanya untuk mendidik dan mentarbiyah saya, agar akhirnya saya juga mampu menjadi murabbiah dan berganding bahu dengannya bagi meneruskan agenda tarbiyah kepada ‘ahli-ahli baru’ nanti. Proses tarbiyah yang bukan hanya sehala, tapi juga harus datang daripada diri saya, dan hasil dari interaksi saya dengan murabbi serta orang-orang di sekeliling saya.

Sekolah ini tidak mampu berdiri, melainkan dengan kerja keras ahli-ahlinya, yang saling mempercayai dan saling menyempurnakan, serta kebergantungan dan kepercayaan secara total kepada Allah. Pergantungan dan tawakkal kepada Allah sangat perlu, kerana ‘peperiksaan’ bersiri yang bakal ditempuhi tidak semudah ujian di atas kertas, malah perlu jiwa yang kental dan hati yang tenang untuk menghadapinya.

Sungguhpun masih baru, saya harus lekas menyesuaikan diri, agar proses tarbiyah itu tidak terencat dek perasaan-perasaan negatif yang tidak seharusnya ada dalam diri seorang muslim.

==========

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan-pasangan dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Al-Furqan: 74]

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
“Wahai Tuhanku, kurniakan aku dari sisi Engkau zuriat yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. [Ali Imran: 38]

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan zuriatku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.” [Ibrahim: 40]

Advertisements

Read Full Post »

BismiLLah..

Sekadar meluahkan buah minda saya sebagai respon kepada isu yang pernah dibincangkan di radio beberapa hari lalu. Berkenaan dakyah Kristian secara bebas di Malaysia. Entah, saya rasa isu ini isu lama, mungkin dihangatkan kembali memandangkan ia berkait dengan isu penggunaan kalimah Allah secara umum bagi menterjemahkan perkataan ‘god/lord’ di dalam kitab/buku agama selain islam. Tak dapat dinafikan juga, isu ini menjadi batu loncatan kepada sesetengah parti/gerakan politik untuk memenangi hati rakyat yang semakin cakna agama.

Saya masih ingat, sewaktu di bangku sekolah, semua orang menggelabah dengan holy water, dan melatah bila berlaku gerakan kristianisasi. Pernah juga sesekali tertanya-tanya, kenapa perlu marah dengan gerakan kristianisasi? Memanglah risau, tapi bukankah setiap orang mempunyai hak untuk menyebarkan agama masing-masing tanpa mengira siapa minoriti dan majoriti? Mungkin kerana di Malaysia (kononnya) negara islam, kita berada di zon selesa, kurang berfikir tentang hak penyebaran agama islam. Bila jadi kaum minoriti di negara majoriti bukan islam, baru kita menghargai kepentingan hak berdakwah.

Saya sangat tertarik dan bersetuju dengan pandangan Bro Shah Kirit tentang responnya berkenaan isu kalimah Allah. (Sila google, jangan malas!) Setiap orang bebas menyebarkan agama masing-masing melalui apa-apa medium tanpa niat/tindakan menipu/mengelirukan audiens. Adil, fair and square. Peranan kita sebagai Muslim, jernihkan aqidah, perkasakan dakwah. Kerana bila ada dakwah, dakyah akan kalah. Dan saya rasa perlu untuk kita melihat usaha dakyah agama lain itu sebagai peluang untuk kita menyebarluaskan dakwah islamiyah. Bila ada dakyah, ada dialog, bila ada dialog ada perbincangan, bila ada perbincangan, ada penjelasan.

Persoalan: Antara dakyah kristian dan dakyah Syiah, mana lebih bahaya?

Personally, saya lebih takut akan dakyah Syiah berbanding dakyah agama lain. Agama lain jelas kebatilannya. Tetapi dakyah Syi’ah atas nama islam, yang berselindung di sebalik taqiyah. Jadi jika mahu marahkan orang Kristian, marah dulu kepada orang Syiah yang dakyahnya kian berleluasa.

Read Full Post »

BismiLLah…

Sedar tak sedar, sudah 2 bulan saya kembali bergelar perantau. Kata bonda saya, separuh umur saya yang lebih sedikit daripada 1/4 abad ini dihabiskan di negeri orang. Iya, sejak tingkatan satu sudah berjauhan dengan keluarga, hinggalah saya tamatkan pengajian ijazah saya, barulah mendiam di rumah bonda selama 2 tahun. Selepas tamat latihan sebagai pegawai perubatan siswazah di kawasan Lembah Klang, saya dihantar keluar untuk berkhidmat di pantai timur pula. Jadi saya faham benar kenapa mak beriya-iya menyuruh saya memohon untuk berkhidmat di negeri tempat mak & ayah bakal bermastautin nanti. Maafkan anakmu ya mak, mudah-mudahan Allah izinkan, suatu hari nanti.

Pantai Timur; di sini saya membesar sebagai remaja, tempat saya menimba ilmu selama 5 tahun. Banyak kenangan pahit manis yang akhirnya saya berkeputusan tidak mahu lagi bermukim ke sana, apatah lagi untuk dijadikan tempat bermastautin. Namun percaturan Allah itu melebihi keinginan dan usaha manusia. Akhirnya, Pantai Timur kembali menjadi tempat persinggahan saya, untuk beberapa tahun mungkin. Allahu A’lam.

Perihal O&G

Bila sebut O&G, orang-orang di aliran perubatan akan terbayang Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetrics & Gynaecology). Tapi rupa-rupanya ada maksud lain yang agak popular; Oil & Gas. Kemaman dan Kerteh – Sinonim dengan istilah O&G. Kerana ramainya jurutera-jurutera petroleum di dua bandar ini, kos sara hidup di sini boleh dikira agak tinggi. Malah belanja makan di sini menyamai (dan kadang-kadang melebihi) belanja makan saya di KL. [Mujur rumah sewa sebelah pasaraya; bila lapar, beli barang mentah, balik rumah masak sesedap rasa tanpa perlu fikir harga.]

O&G

Taip O&G di google image. Hanya satu gambar yang berkaitan dengan saya.

Kembali kepada maksud O&G menurut kamus hidup saya: Obstetrics & Gynaecology. Memang ramai yang bertanya, adakah saya berada di bidang ini atas kehendak sendiri atau paksa rela. Hm, anggaplah saya sudah menjadi tunangan Encik Dewhurst (penulis buku rujukan O&G) tanpa melupakan cinta pertama dan harapan saya kepada Encik Murtagh (penulis buku General Practitioner). Saya berusaha untuk apa yang berada di genggaman saya sekarang, tanpa leka untuk mengintai peluang untuk kembali ke bidang yang menjadi cita-cita saya.

Alhamdulillah, sudah mula berjinak-jinak dengan Ventouse dan Caesarean Section. Belajar mengawal emosi, tanpa merencat tindakan. Kesilapan atau kelewatan yang sedikit kekadang boleh menyebabkan kesan buruk yang besar. Tidak mudah untuk saya yang selalu sahaja berdebar dan panik bila berlaku pendarahan lebih dari yang dijangka. Saiz tubuh saya yang agak kecil juga merupakan satu cabaran untuk saya lebih-lebih lagi jika pesakit yang perlu dibedah itu berlebihan berat badan. Seluruh kudrat terpaksa dikerah untuk membedah seorang pesakit begitu. Sungguh, O&G perlu kekuatan fizikal, mental dan emosi!

Wahai Allah, hanya Engkau yang memudahkan urusan hamba-hambaMu.

Dan selingan:

Lagu yang membuatkan saya menangis.
Saya bukan peminat lagu genre begini, tapi kerana rasa ingin tahu sangat kuat; ayah kerap kali memutarkan lagu ini. Dan kali pertama saya meneliti beberapa bait-bait lagu ini, air mata saya mengalir. Baru saya mengerti.

Read Full Post »

Sollu ‘ala an-Nabiy

BismiLLah…

Hari ini 9 Rabi’ul Awwal 1434H.


baca: SELAWAT KE ATAS NABI SAW: KELEBIHAN & LAFAZ YANG SAHIH

Read Full Post »

ayat

Read Full Post »

*Sigh*

BismiLLah…

الحمدلله الذي بنعمته تتم الصالحات
Segala puji-pujian bagi Allah, dengan nikmat-Nya, telah sempurna perkara-perkara yang baik.

Sudah saaaangat amat lama tidak menulis. Hingga gerak tari jemari tidak selancar dahulu. Buah minda juga nampaknya tidak bercambah dengan baik. Layu. Mungkin kerana semakin kurang membaca, atau terlalu fokus kepada beberapa urusan peribadi semata. Benarlah, orang yang tidak mempunyai sesuatu tidak akan boleh memberi.

إِنَّ الْإِنْسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا
إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا
وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah;
Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah;
Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut
[Al-Ma’aarij: 19-21]

Bagaikan terngiang-ngiang suara naqibah usrah saya semasa di Dublin dahulu, semasa membacakan tafsir surah ini. Ibn Katheer menyebut di dalam tafsirnya, Allah menciptakan manusia itu cenderung untuk melakukan kerosakan kepada diri sendiri, melainkan beberapa golongan yang Allah telah janjikan Syurga untuk mereka.

Sungguh, terasa diri sangat kerdil di hadapan Tuhan. Lebih banyak berkeluh-kesah daripada bersyukur, sedangkan telah banyak nikmat yang Dia telah hamparkan untuk kita. Saya selalu bertanya kepada diri, mengapa kita masih tercari-cari dan ternanti-nanti ‘nikmat’ yang bukan milik kita, sedangkan masih banyak lagi nikmat yang belum kita syukuri?

Jika dilanjutkan bacaan pada ayat-ayat yang seterusnya, bertambah-tambah getar hati dan gerun. Adakah solat saya belum sempurna? atau saya masih kikir daripada bersedeqah kepada yang memerlukan? atau saya belum benar-benar percaya kepada hari pembalasan? atau belum sempurna dalam menjaga kehormatan dan maruah diri? atau saya masih belum cukup amanah dalam melaksanakan tanggungjawab saya?
AstaghfiruLLah, Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya samada sengaja atau tidak, dan menutupi segala kekurangan saya. Amin.

Sigh

Sigh

HO vs MO

Cukup sebulan saya menamatkan posting saya sebagai seorang doktor pelatih (HO). Orang selalu kata, “Oh, seronoknya dah habis HO… lepas ni lega lah dan naik jadi MO!”
Saya selalu diam dan senyum. Tak mahu memberi sebarang komen. Memanglah kerja sebagai HO penat. Berlari-larian ke sana sini. Selalu perlu ‘multi-tasking’. Sekali pandang, memanglah gembira untuk menamatkan housemanship saya. Tapi jadi MO pula bukan percuma. Rasa bimbang itu tetap ada. Menjadi HO yang baik bukan semestinya akan menjadi MO yang baik. Tanggungjawab MO juga lebih besar; bukan setakat kepada pesakit, tetapi juga kepada doktor pelatih yang berada di bawah pemerhatiannya. Berat!
Sejak saya di hujung posting sebagai HO, saya sudah mula berasa bimbang, bimbang jika saya tidak mampu menjalankan tugas saya dengan baik dan penuh amanah. Bimbang jika saya tidak mampu untuk sekurang-kurangnya menjadi ‘a safe doctor’.

Ya, perlu berusaha untuk meningkatkan diri, dari segi ilmu dan praktikal; MO-ship adalah fasa ke-2 dalam bidang pekerjaan saya yang perlu saya tempuhi sebelum ke peringkat seterusnya. Dan persediaan yang sama juga diperlukan untuk berjaya dalam fasa ke-2 dalam kehidupan seorang Muslim.

Allah, semoga Engkau mempermudahkan segala urusanku. Amin.

Read Full Post »

BismiLLah…

Oh, dan saya perlu selalu mengingatkan diri saya tentang ini:

Pesanan untuk Penuntut perubatan

oleh Shaykh Dr Yusri Rusydi Sayed Jabr – A Vascular surgeon as well as a syeikh in Egypt (Muhaddith)
di Dataran Hayyu ‘Asyir, Kaherah. 7 April 2011

1. Adalah perlu bagi penuntut ilmu perubatan belajar dengan penuh tanggungjawab sehingga dia menjadi pakar dalam bidangnya. Ketika ayahku meninggal ketika aku masih belum tamat pengajian perubatan, aku terfikir untuk keluar bekerja dan mengumpul duit. Syaitan sentiasa mendorong berbuat demikian namun aku mengambil keputusan untut tetap meneruskan pengajian walaupun dalam keadaan payah.

Imam Syafie berkata:” Jika kamu meninggalkan seorang guru ketika belum sampai masanya, maka Allah akan haramkan kebaikan padamu. Menuntut ilmu memerlukan masa yang panjang dan kecerdikan (zakiyy)”.

2. Seorang doktor Muslim perlu menguasai ilmu qawaid fiqhiyyah dan qawaid tibbiyah. Perlu juga menguasai maqasid syari’yyah iaitu menjaga akal, harta, agama, jiwa dan nasab. Contohnya dalam masalah percampuran nasab seperti bank sperma, ini dilakukan oleh mereka yang jahil dan tak beriman kepada Allah. Tak patut bagi seorang doktor Muslim melakukan demikian kerana kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam.

3. Seorang guru kamu yang mahir dalam ilmu perubatan umpama syeikh kamu dalam agama. Bersungguh-sungguhlah menuntut ilmu daripadanya.

4. Doktor Muslim perlu menguasai sepenuhnya ilmu perubatan. Jika dia mengambil keputusan untuk membedah seorang pesakit, padahal ada cara lain yang lebih baik untuk merawat pesakit tersebut, tetapi tidak diketahui oleh doktor tersebut lantaran kurang ilmunya, maka dia akan disoal di hadapan Allah di akhirat nanti. Doktor perlu tahu sejauh mana keperluan untuk melakukan pembedahan atau tidak, terutama kepada pesakit yang datang yang minta dibedah untuk mengubah ciptaan Allah. (pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan). Doktor Muslim tersebut perlu mengetahui hukum dan menasihati pesakit tersebut dengan baik.

5. Doktor Muslim perlu menghormati manusia sebagai ciptaan Allah. Sebenarnya, kebanyakan ilmu perubatan yang dipelajari hari ini diambil dari fahaman Barat yang menganggap manusia umpama sekeping daging yang tak berguna, bukan makhluq Allah yang perlu dihormati. Kita perlu perbetulkan kembali fahaman yang salah ini. Hubungan dengan pesakit adalah hubungan kasih sayang dan rahmah dengan makhluq Allah, bukan merawat dengan tujuan untuk membuat uji kaji atau bereksperimen. Anggaplah pesakit umpama diri kita sendiri yang perlu ditolong, pasti kita akan memberikan rawatan yang terbaik.

6. Doktor Muslim perlu arif dengan perkembangan terkini dan semasa ilmu perubatan, kerana ilmu ini berkembang dengan pesat, serta kaitkannya dengan hukum agama.

7. Doktor wajib menjaga rahsia dan aurat pesakit, dilarang berdua-duaan dengan pesakit yang berlainan jantina. Buka aurat untuk pemeriksaan sekadar perlu @ darurat @ jika tak dapat dielakkan sahaja.

8. Pastikan doktor Muslim ini berbeza dengan doktor bukan Islam. Kamu bukan dijadikan untuk dunia, tetapi kamu dijadikan untuk akhirat. Rezeki sudah ditentukan Allah, itqan (bersungguh-sungguh) dalam pekerjaanmu itulah yang dituntut. Hikam Ibhu A’thaillah menyebut: kamu sibuk dengan perkara yang telah ditentukan (rezeki), dan menjauhkan diri dari perkara yang dituntut (bersungguh-sungguh) adalah dalil Allah mencabut pandangan baik dari jiwa kamu.

9. Saidina Ali menyebut: ” Kedudukan seseorang adalah pada apa yang dia kuasai, bukan apa yang dia miliki. Apa yang mampu kita beri pada orang lain itu lebih baik daripada apa yang kita miliki”.

10. Penting bagi seorang doktor Muslim terlibat dengan misi kemanusiaan. Aku pernah bertanya kepada Dr. Abdul Qadir Qutb, seorang pakar pembedahan tentang bagaimana untuk menjadi hebat dalam bidang ini? Beliau menjawab: Mahu tak mahu, kamu perlu terlibat dalam misi peperangan, maka kamu akan mendapat pengalaman umpama kamu terlibat dalam ilmu perubatan selama 20 tahun.

11. Ketika terpilih untuk misi kemanusiaan di sempadan Afghanistan, aku sempat merawat 150 orang pesakit. Seorang doctor Afghanistan merasa kagum lantaran banyak pembedahan yang aku lakukan berjaya. Beliau bertanya apakah rahsianya dan aku menjawab; Aku bukan membuatnya dengan tangan, tetapi aku membuatnya dengan hati.

12. Pesanan untuk pelajar perubatan; tuntutlah ilmu untuk mencari redha Allah, bukan tujuan untuk dipandang manusia. Ilmu perubatan adalah ilmu yang bermanfaat untuk manusia. Tanda menuntut ilmu kerana Allah: panjang masanya, bersungguh-sungguh, rendah diri kepada sahabat2 dan pesakit, hormati guru yang mengajar kita. Kekallah dengan apa yang telah ditentukan Allah, itu adalah tanda wali Allah.

~Manusia adalah ciptaan Allah yang agung, jadi persediaan untuk merawat makhluq Allah ini perlulah hebat.

*credit to (Dr) Lyanna Yahya.

===

Pesanan untuk diri sendiri: Sila rajin dan bersungguh-sungguh!

Read Full Post »

Older Posts »