Feeds:
Posts
Comments

Archive for August, 2008

BismiLLah…

Rindu pada sebuah kota – yang pernah dikenali dengan Kota Kostantinopal – tiba-tiba menyapa. Rindu pada kenangan manis di sana, dan rindu pada imbasan sejarah silam yang membawa islam ke puncak kegemilangannya. Ya, zaman pemerintahan Sultan Muhammad II yang digelar al-Fateh (pembuka) menjadi saksi kebenaran sabda Nabi s.a.w. semasa baginda menggali parit sebagai benteng menghadapi musuh dalam perang Khandaq (yang juga dikenali dengan perang ‘parit’ dan perang Ahzab berlangsung pada tahun 5 Hijrah).

Hadith yang digantung pada dinding sebelah luar Aya Sofya (Haghia Sofia) yang bermaksud:
Sesungguhnya Kota Kostantinopal pasti akan dibuka (ditawan oleh tentera islam). Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ketika itu Kota Kostantinopal masih dibawah jajahan takluk kerajaan Rom yang terkenal dengan kehebatan bala tenteranya. Namun, hadith yang merupakan jaminan daripada Allah dan Rasul-Nya telah menyemarakkan semangat umat islam untuk mendapatkan penghormatan dan kemuliaan yang dijanjikan. Dalam tempoh 800 tahun selepas kewafatan baginda s.a.w, para amirul mu’mineen, bermula dengan Mu’awiyah dan anak beliau Yazid, berlumba-lumba mengerah tentera mereka untuk bersama-sama menawan kota Kostantinopal. Walau bagaimanapun, semua usaha yang dilancarkan pada zaman Umayyah, ‘Abbasiyah dan beberapa usaha pada zaman ‘Uthmaniyah menemui kegagalan. Akhirnya pada tahun 857H (1453M), Allah mentaqdirkan Sultan Muhammad II bersama 150,000 tenteranya berjaya membuka dan menakluki Kostantinopal dan menukar namanya ke Islam-bol.

800 tahun. Beribu-ribu tentera islam syaheed, termasuk sahabat nabi, Abu Ayyub al-Ansori r.a., tapi semangat mereka tak pernah kalah. Kerana mereka percaya setiap apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah itu benar. Kerana mereka percaya janji Allah itu lebih besar daripada kekuatan tentera Rom yang pernah menggerunkan dunia.

Hadith Nabi Melangkau Zaman

A ‘fortune teller‘. Mungkin ada yang menggelarkan nabi begitu. Banyak hadith-hadith baginda yang menceritakan perihal umat dan zaman akan datang. Sebahagiannya ‘telah’ terbukti benar. (Maksud saya, ia telah berlaku selepas kewafatan nabi). Dan pastinya sebahagian lagi akan terbukti juga kebenarannya. Walau bagaimanapun, terpulang kepada kita sama ada benar-benar MAHU percaya sebelum ia berlaku atau mahu tunggu dan lihat, kemudian baru percaya.

‏عن ‏ ‏النعمان بن بشير ‏ ‏قال ‏

كنا قعودا في المسجد مع رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏وكان ‏ ‏بشير ‏ ‏رجلا ‏ ‏يكف ‏ ‏حديثه فجاء ‏ ‏أبو ثعلبة الخشني ‏ ‏فقال يا ‏ ‏بشير بن سعد ‏ ‏أتحفظ حديث رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏في الأمراء فقال ‏ ‏حذيفة ‏ ‏أنا أحفظ خطبته فجلس ‏ ‏أبو ثعلبة ‏ ‏فقال ‏ ‏حذيفة ‏ ‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏تكون النبوة فيكم ما شاء الله أن تكون ثم يرفعها إذا شاء أن يرفعها ثم تكون خلافة على منهاج النبوة فتكون ما شاء الله أن تكون ثم يرفعها إذا شاء الله أن يرفعها ثم تكون ملكا ‏ ‏عاضا ‏ ‏فيكون ما شاء الله أن يكون ثم يرفعها إذا شاء أن يرفعها ثم تكون ملكا ‏ ‏جبرية ‏ ‏فتكون ما شاء الله أن تكون ثم يرفعها إذا شاء أن يرفعها ثم تكون خلافة على منهاج النبوة ثم سكت

Daripada an-Nu’man bin Basyir, beliau berkata:

“Kami sedang duduk-duduk di masjid bersama Rasulullah s.a.w.,  dan Basyir adalah seorang pendiam. Maka datang Abu Tha’labah al-Khasynee lalu berkata: “Wahai Basyir bin Sa’ad, adakah engkau menghafaz hadith Rasulullah s.a.w. tentang al-Umara’ (kepimpinan)?” Lalu Hudzaifah berkata: “Aku menghafaz khutbah baginda.” Lantas Abu Tha’labah duduk. Hudzaifah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

An-Nubuwwah (kenabian) berada bersamamu selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu berada di zaman
Khilafah di atas manhaj an-Nubuwwah (metod kenabian). Dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia akan mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu melalui zaman Malikan ‘Aadhan (raja menggigit), dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia  mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu menghadapi zaman Malikan Jabriyah (raja diktator), dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu melalui zaman Khilafah di atas manhaj an-Nubuwah, kemudian baginda diam.”
[Riwayat Ahmad 4/275, Abu Daud 4/211, At-Tirmizi 4/503]

Yang dimaksudkan dengan an-Nubuwwah ialah semasa hayat Nabi Muhammad s.a.w. , manakala khilafah di atas manhaj an-Nubuwwah bermaksud khilafah yang terdiri daripada pemimpin yang mencontohi Nabi, iaitu zaman selepas kewafatan Rasululullah s.a.w. iaitu zaman khulafa’ ar-rasyideen (Abu Bakr r.a., ‘Umar al-Khattab r.a., ‘Uthman b ‘Affan r.a., ‘Ali b Abi Talib r.a. dan sebahagian ulama’ berpendapat termasuk Hassan b ‘Ali). Pemerintahan yang seterusnya dinamakan raja yang menggigit kerana ketidakadilan berlaku terhadap rakyat mereka seolah-olah mereka mempunyai gigi yang menggigit rakyat mereka. Zaman yang dimaksudkan ialah tempoh bermula Khilafah Bani Umayyah hingga jatuhnya Khilafah Bani ‘Uthmaniyyah pada kurun ke-20 Masehi (melainkan beberapa pemimpin seperti Umar b. Abdul ‘Aziz). Malikan Jabriyyah pula bermaksud raja yang angkuh, zalim dan melampaui batas (thoghut), iaitu bermula sejak jatuhnya khilafah ‘Utmaniyyah hingga ke hari ini.

JIka diperhatikan, hadith tersebut dibacakan oleh Nabi semasa hayatnya. Dan 4 daripada 5 peristiwa yang disebutkan dalam hadith tersebut telah pun berlaku. Pastinya peristiwa ke-5 kelak akan menyusul. Kita yakin ia akan berlaku, tapi tiada siapa yang dapat memastikan bila kan tiba waktunya.

Peranan Kita

Saya pernah terdengar bahawa ada yang mendakwa bahawa kita belum punya cukup kekuatan untuk mencapai peristiwa ke-5: Khilafah di atas manhaj an-Nubuwwah (yang ke2). Saya ingin mengajak kita semua untuk merenung kembali hadith yang pertama (berkenaan dengan pembukaan Kota Kostantinopal) di atas. Kita semua kagum akan semangat dan usaha yang ditunjukkan oleh para sahabat, tabi’ein, tabie’ tabi’ein  dan umat selepasnya untuk menakluk Kota Kostantinopal bagi merealisasikan hadith baginda s.a.w. Tapi sejauh mana kita mahu mencontohi mereka?

Perihal kekuatan; kekuatan bagaimana yang diperlukan barulah kita boleh berusaha ke arah menegakkan khilafah di atas manhaj an-Nubuwwah? Adakah kita harus sehebat Nabi dan para sahabat, barulah dikira cukup kekuatan kita untuk mengembalikan khilafah? Jika benar begitu, tunggulah sehingga beribu-ribu tahun lagi, nescaya tidak akan tertegaknya khilafah yang kita nanti dan dambakan.

Dalam tempoh 800 tahun, yang bukan pendek, usaha umat islam diteruskan walaupun mereka menemui kegagalan. Mungkin mereka belum cukup ‘kuat’ untuk menembusi kubu Rom yang terkuat pada waktu itu. Saya yakin, mereka juga tidak tahu kekuatan yang bagaimanakah harus mereka miliki. Namun, isu itu tidak pernah timbul. Kerana matlamat mereka hanya satu; merealisasikan apa yang tertulis di dalam hadith Rasul s.a.w. dan seterusnya mendapat penghormatan di sisi Allah s.w.t.

Saya hairan, mengapa isu kekuatan ditimbulkan pada hari ini? Sedangkan sepatutnya kita serahkan ia kepada Allah. Kerana, mungkin bukan kekuatan (yang kita sangkakan) itu yang menjadi ukuran di sisi Allah. Tapi sejauh mana kita mahu berusaha untuk mencapai apa yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya. Hari ini kita berusaha, bukan mesti esok kita melihat hasilnya. Yang penting, jangan kita biarkan rantaian usaha ini terputus. Kalau bukan kita, moga anak-anak cucu kita nanti mampu mengecap kemanisan Khilafah di atas manhaj an-Nubuwwah. Maka pilihlah, mahu menjadi yang berusaha atau mahu menjadi si penunggu.

Katakanlah: “(Sebenarnya) tidak ada Yang kamu tunggu-tunggu untuk Kami melainkan salah satu dari dua perkara Yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid); dan Kami menunggu-nunggu pula untuk kamu Bahawa Allah akan menimpakan kamu Dengan azab dari sisiNya, atau Dengan perantaraan tangan kami. oleh itu tunggulah, Sesungguhnya Kami juga menunggu bersama-sama kamu”. [At-Taubah: 52]

Wallahu A’lam.

Read Full Post »

BismiLLah…

Baru-baru ini terdengar lagu ini dimainkan di radio IKIM.fm
Pertama kali. Terpaut.

[Youtube=http://www.youtube.com/watch?v=PJO7gtKqb58]

Berita kepada kawan

Perjalanan ini terasa sangat menyedihkan
Sayang, engkau tak duduk di sampingku kawan
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering berbatuan

Tubuh ku terguncang di hempas batu jalanan
Hati tergetar menampak kering rerumputan
Perjalan ini pun seperti jadi saksi
Gembala kecil menangis sedih

Kawan coba dengar apa jawabnya
Ketika ia ku tanya “Mengapa?”
Bapak ibunya telah lama mati
Ditelan bencana tanah ini

Sesampainya di laut ku khabarkan semuanya
Kepada karang, kepada ombak, kepada matahari
Tetapi semua diam, tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri terpaku menatap langit

Barangkali di sana ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana

Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang

oleh Ebiet G. Ade

Read Full Post »

BismiLLah…

I

“Doctor, why the patient no longer has long-sighted vision as he is getting older? Is that possible?”
“What is long-sighted vision? Medical term please. This is bedside teaching. Only use lay-man term when you’re communicating with the patients.”
“Ok, previously the patient was hypermetropic. But now he claims that he doesn’t need the spectacles anymore while reading. Is that possible?”

II

“Makcik, makcik masuk hospital ni untuk operation apa? Cataract ye?”
“Tak, untuk buang selaput kat mata kiri makcik ni.”

*cataract = opacity in the lens of eye, atau bahasa mudahnya, selaput putih di mata.

—-

III

“Ika, nak ke mana?”
“Gi surau. Ada liqa’ nuqaba.”
“Oh, meeting eh?”
“Eh, a’ah.. meeting untuk naqib dan naqibah

*Liqa’ = pertemuan/meeting

—-

p.s. This reminds me to the muzakarah and muqabalah issue. We were busy defending ourselves by saying that it’s only a ‘muqabalah’, not a ‘muzakarah’  which brings a lot of misunderstanding (that’s what they say). But we forget that most of the people out there (including the muslims) does not even know what muzakarah means. Agaknya pakcik-makcik kat kampung2, atau sesiapa saja yang tidak familiar dengan perkataan-perkataan arab pastilah terlopong. Apelah yang digaduhkan ini?

Dan dalam menyampaikan dakwah juga, kita gemar mencampur-adukkan perkataan arab  dan melayu dalam ucapan kita. Ya, saya akui penguunaan perkataan arab yang merupakan kata asal bagi sesuatu istilah lebih besar impaknya (bagi kita). Tapi kadang-kadang kita lupa, siapa pendengar kita. Apabila berlebih-lebih dalam menggunakan perkataan Arab ini, boleh jadi si pendengar berasa berat dan akhirnya semakin jauh dengan kita. Harus diingati, bila berbicara dengan sesuatu kaum, lebih utama untuk kita menggunakan bahasa mereka. Melainkan kita punya banyak masa untuk menerangkan setiap perkataan/istilah yang kita gunakan…

—-

IV (12 years ago, during a holiday camp)

“Eh, reti tak buat macam yang akak tu suruh? nanti kita kalah!”
Ana reti.”
Ana tu siapa?”
“Ana tu (bermaksud) saya lah.”
“Nama awak apa?”
“Zulaikha.”
“Kenapa panggil ana?”

*Di sekolah rendah dulu memang kami membahasakan diri “ana”-“anti/anta” di kalangan murid-murid, dan guru-guru juga. Jadi bila berbual dengan murid-murid sekolah lain, saya jadi bingung bagaimana untuk menerangkan kepada mereka… Hingga kini, bila bertemu rakan-rakan sekolah rendah, dengan otomatis lidah menukar ‘saya’ menjadi ‘ana’, ‘awak’ menjadi ‘anti/anta’. Ya, seperti mana orang lain bebas menukar-ganti antara ‘aku-kau’ atau ‘saya-awak’ (dengan melihat kepada siapa dia berbicara). Jadi, jika ada yang mengatakan ganti nama ‘ana’, ‘anta’, ‘anti’ boleh menambahkan ‘thiqah’  (kepercayaan) orang lain kepadanya, atau boleh mencipta satu ‘benteng’ (barrier) di antara lelaki dan perempuan (sewaktu berbicara), saya katakan: TIPU.

Wallahu A’lam.

Read Full Post »

Di dalam bulan Sya’ban, terdapat beberapa ajaran daripada sunnah Rasulullah s.a.w. yang dapat diamalkan oleh seseorang muslim. Di antaranya ialah seperti berikut:

1- Perbanyakkan puasa dalam bulan ini:
أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا[1]
Maksudnya: ‘Aisyah berkata ‘Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa pada satu bulan melebihi bulan Sya‘ban. Baginda berpuasa bulan Sya‘ban kesemuanya. Baginda sering berkata “Ambil amalan yang kamu mampu lakukan kerana Allah tidak akan bosan kecuali jika kamu bosan.” Sebaik-baik solat kepada Nabi s.a.w. ialah apa yang diteruskan walaupun sedikit. Jika baginda melakukan satu solat Baginda akan meneruskannya.2- Apabila sampainya pertengahan Sya‘ban, pastikan kita mempunyai sifat-sifat mulia ini (mukmin, tidak bersengketa dan tidak berhasad):


يطلع الله تبارك و تعالى إلى خلقه ليلة النصف من شعبان ، فيغفر لجميع خلقه ، إلا لمشرك أو مشاحن [2]

Maksudnya: Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam pertengahan Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).

3- Apabila berada di pertengahan kedua Sya‘ban, puasalah pada hari yang biasa kita puasa sahaja, jika tidak biasa puasa pada hari itu elok jangan berpuasa:

إِذَا بَقِيَ نِصْفٌ مِنْ شَعْبَانَ فَلَا تَصُومُوا [3]

Maksudnya: Apabila datangnya pertengahan Sya‘ban maka janganlah kamu berpuasa.

4- Pastikan tidak berpuasa pada hari yang diragui adakah masih Sya‘ban atau sudah masuk Ramadhan:

لَا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلَا يَوْمَيْنِ إِلَّا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ [4]

Maksudnya: Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan puasa satu hari atau dua hari kecuali orang yang biasa puasa hari tertentu bolehlah dia berpuasa pada hari itu.

…فَقَالَ عَمَّارٌ مَنْ صَامَ الْيَوْمَ الَّذِي يَشُكُّ فِيهِ النَّاسُ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [5]

Maksudnya: Maka Ammar berkata ‘Siapa yang puasa pada hari yang manusia meraguinya maka dia telah membuat maksiat terhadap Abu al-Qasim s.a.w.

[1] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Saum Sya‘ban, No. 1834. Juga Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Siyam al-Nabi s.a.w. Fi Ghair Ramadhan Wa Istihbab An La Yukhliya Shahran ‘An Saum, No. 1957.
[2] HR Ibnu Abi ‘Asim, Ibnu Hibban dan lain-lain, dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1144.
[3] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Karahiyah al-Saum Fi al-Nisf al-Thani Min Sya‘ban Li Hal Ramadhan, No. 669.
[4] HR Muslim, Kitab al-Siyam, Bab La Taqaddamu Ramadhan Bi Saum Yaum Wa La Yaumain, No. 1912.
[5] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Karahiyah Saum Yaum al-Syak, No. 622. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Daud, No. 686.

Read Full Post »

“Nurse On Call”

BismiLLah…

Semasa entry ini ditulis, cuti sekolah (baca: cuti semester) sudah beberapa hari tamat. Tidak puas rasanya bercuti selama 4 minggu sahaja. Lebih-lebih lagi cuti kali ini merupakan cuti panjang yang terakhir bagi pelajar  tahun 4 Perubatan di Kolej Perubatan Pulau Pinang. Pulang ke Pulau Pinang, masing-masing membawa pelbagai cerita; termasuk aktiviti-aktiviti semasa cuti. Ada yang ke China, Indonesia, bergerak ke Utara dan Selatan Malaysia, dan sebagainya. Saya? Kata kawan saya, “Zulaikha kerja ‘Nurse On Call’.” Saya gelak. Mungkin juga ada benarnya.

Di Dublin dahulu, ramai sahabat saya yang bekhidmat sebagai ‘nurse on call‘ untuk menambahkan pendapatan dan mengisi masa lapang (bagi yang tidak pulang semasa cuti musim panas). Ramai memilih untuk bekerja sebagai ‘nurse‘ kerana mudah diterima bekerja (mungkin kerana kami pelajar perubatan) dan mereka bebas memilih untuk bekerja pada bila-bila masa. Selepas disahkan diterima bekerja, maklumkan saja bila anda mahu bekerja (i.e. bila anda lapang) dan mereka akan memanggil anda untuk berkhidmat. Kebiasaan pelanggan (baca: pesakit) adalah orang-orang tua. Biasanya ‘nurse‘ diperlukan apabila tiada siapa menjaga mereka di rumah. Jadi, ‘nurse‘ ini akan melakukan apa saja kerja yang diminta oleh pesakit.

Dan sepanjang cuti kali ini, giliran saya pula menjadi ‘nurse‘. Saya ditugaskan (baca: bertanggungjawab) untuk menjaga atuk saya yang sudah lanjut usianya (89 tahun) yang buat masa ini tinggal di rumah kami.  Mungkin tugas saya tidak kurang bezanya dengan sahabat yang bekerja sebagai ‘nurse‘, cuma saya memasak, mengemas, membasuh baju (secara manual), me-wudhu’-kan, membawa ke tandas, tanpa gaji dan ‘pesakit’ saya adalah seseorang yang ada pertalian darah dengan saya. Penat? Bosan? Kalau saya nafikan, bermakna saya berbohong.

Lagi pula, abang dan adik-adik saya sudah jarang-jarang berada di rumah (kuliah telah bermula), emak dan ayah pulang dari kerja lewat petang, pembantu rumah juga tiada. Maka saya tidak berpeluang untuk keluar ke mana-mana melainkan hari minggu. (Itu pun jika emak dan ayah tidak keluar). Kadang-kadang bimbang dikatakan mandom. Mana tidaknya, telefon tidak berjawab (sibuk di luar atau di dapur), apabila kawan-kawan mengajak ke program, ziarah, dsb, asyik menolak. Saya tahu, ada yang tertanya-tanya, “Apa dah jadi dengan dia?”

Nurse On Call!

Namun, saya sedar, tiada maknanya saya sibuk ke sana-sini, tetapi mengabaikan tanggungjawab saya di rumah. Atuk mungkin sudah di penghujung usianya, dan saya masih belum mencurahkan bakti kepadanya. Kerana atuk, saya lahir ke dunia, dalam sebuah keluarga yang begitu memberatkan hal-hal agama. Kerana atuk, saya kenal Allah. Ya, kerana atuk adalah bapa kepada ayah saya – yang belum tentu saya akan berpeluang berbakti kepada ayah pada masa akan datang. Emak kata, anak-anak emak yang masih muda, kuat serta kurang sibuk ini mewakili mereka untuk menjaga atuk. Ya, ini juga sebahagian dari bakti kami  kepada emak dan ayah yang saban hari bekerja untuk menanggung kami. Dan saya mengingatkan diri kami,  Allah mahu memberi peluang kepada kami untuk menambah pahala, masakan mahu menolak?

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” (Surah Al-Ahqaf:15)

“Seorang lelaki datang berjumpa Nabi s.a.w., beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi s.a.w. bertanya: “Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya”, Baginda s.a.w.bersabda: “Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta).” [Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Jadi, rasa cemburu mendengarkan teman-teman lincah ke program dan majlis-majlis ilmu, rasa penat dan bosan dengan tugas hari-hari, buang jauh-jauh. Kerana kalau bukan kita yang membela mereka, siapa lagi? Masakan kita sanggup untuk melihat orang tua kita (emak, ayah, atuk, nenek) dipelihara oleh orang gaji yang entah siapa-siapa dan tidak tahu asal-usulnya, sedang kita sendiri sangat lapang (waktu, tenaga dan wang) untuk menjaga mereka? Kalau begitu, hantarkan saja mereka ke rumah orang-orang tua.  Kerana tiada bezanya jika kita enggan melayan bicara mereka, dan enggan mengambil peduli hal-hal mereka.

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah!’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah Al-Israa’: 23-24)

Berbuat baik kepada orang tua itu perintah Allah. Bukan pilihan. Moga ayat-ayatnya jadi renungan buat kita, agar kita termasuk dalam golongan yang berfikir.

p/s: Bimbang jika kita terlalu sibuk dengan urusan (termasuk dakwah) di luar rumah, tetapi akhirnya mengabaikan urusan dalam keluarga sendiri.. yang akhirnya membawa fitnah kepada agama itu sendiri…

Read Full Post »