Feeds:
Posts
Comments

Archive for July, 2011

BERSIH

BismiLLah..

Sudah lama tidak menulis. Tidak hairan ada teman yang tidak jemu mengingatkan saya agar mengemaskinikan blog yang terbiar ini. Sejujurnya, agak kekok untuk kembali menulis. Tarian jari-jemari tidak selancar dulu. ‘Flows of idea‘ juga seakan-akan telah terhenti. Ya, minda ini sudah kemarau ilmu, lidah juga sudah kelu. Tapi, itu bukan alasan!

=====

[Retrospective entry]

BismiLLah, Dengan Nama Allah Yang maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah, akhirnya telah tamat minggu ‘tagging’ saya di jabatan perbidanan dan sakit puan. Sibuk? Mungkin. Serabut? Iya! Maklumlah, jabatan ini jabatan yang paling terdedah kepada saman-menyaman, kerana melibatkan dua nyawa: ibu dan bayi. Semoga Allah melindungi.

[SATU]

Sedang kami duduk-duduk berehat, teman sekerja saya bertanya, “Bersih tu apa sebenarnya?” Sangka saya, dia hanya bergurau, kerana mustahil dia langsung tidak mengetahui. Demonstrasi ini bukan kali pertama. Lagipun, specialists pun ada juga membincangkan isu ini dalam gurau.

“Aku betul-betul tak tau! Aku tau orang kata itu perhimpunan haram. Aku tak tau sebelum ni pernah berlaku.”

Saya terdiam. Sebelum ini saya berkeluh-kesah, terasa ketinggalan dengan isu-isu negara dan dunia. Sehingga saya menggelarkan diri sendiri katak di bawah tempurung. Rupa-rupanya, bukan saya seorang…

“Bersih tu adalah gabungan beberapa NGO yang mahu menuntut pilihanraya yang adil. Kali pertama adalah sebelum PRU 2008. Bagi saya, demonstrasi tu bukan untuk menentang kerajaan, tapi untuk menuntut agar SPR lebih telus, bersih dan adil dalam mengendalikan PRU. Bukankah SPR sepatutnya bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik atau pemerintah? Dan lebih penting lagi, Bersih juga meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap hak-hak mereka sebagai pemilih…. bla bla bla…”

[DUA]

“Ada baca tulisan mufti-mufti dan ulama’ berkenaan bersih?” Tanya abang saya. Pada mulanya saya malas untuk memberi respon. Kononnya penat, jam sudah 11 malam dan saya baru bertolak pulang dari hospital. Dan abang saya pula baru pulang dari mesyuarat persiapan menghadapi Bersih esok. Pastilah semangat sedang berkobar-kobar…

“Ada.” Jawab saya acuh tak acuh.

“Komen?” Abang saya memang begitu. Boleh saja mengajak berbincang isu-isu yang serius pada waktu-waktu begini.

No comment. Bagi saya, ulama’ atau mufti yang dilihat tidak bersetuju dengan Bersih itu kurang pengalaman dalam berpolitik. Isi-isi hujah berkenaan ketaatan kepada pemimpin dan larangan menegur secara terbuka itu adalah dalam konteks umum. Benar tetapi tak kena tempat. Wrong timing… Tidak boleh diaplikasikan dalam konteks BERSIH.

1- Bersih (pada zahirnya) bukan bertujuan menentang atau menjatuhkan pemerintah. Tetapi untuk menuntut agar SPR lebih telus, bersih dan adil.

2- Jika ditinjau dari PRU-PRU yang lepas, SPR bukan benar-benar bebas daripada pengaruh parti politik atau pemerintah. Banyak anasir-anasir luar yang mempengaruhi ketelusan SPR dalam mengendalikan pilihanraya.

3- Oleh itu menjadi hak kepada rakyat untuk membuat tuntutan kepada SPR dengan apa saja cara yang tidak bertentangan dengan syarak, termasuk berdemonstrasi (secara aman).

Saya suka untuk menukilkan hadith yang diulas oleh Dr Asri ZA dalam tulisan beliau ‘BERSIH’ wajib berjalan dengan bersih:

Nabi s.a.w dalam hadis pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di jalan. Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi s.a.w: “Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).

4- Bagi saya, kesan langsung Bersih kepada SPR atau pemerintah adalah hampir kosong. Kerajaan/pemerintah boleh saja menurut atau tidak menurut sebarang tuntutan daripada rakyat. Kuasa di tangan mereka. Jadi sepatutnya mereka tidak perlu melatah untuk melabelkan Bersih sebagai perhimpunan haram dan menangkap pendokong-pendokong Bersih.

5- Tetapi, kesan kepada rakyat Malaysia yang semakin mendapat ‘pencerahan’ (enlightenment) itu yang membimbangkan pemerintah. Apabila rakyat semakin prihatin dan peka terhadap isu-isu yang berlaku di dalam negara, mereka akan lebih bijak berfikir tentang hak dan kehendak mereka. Sedikit sebanyak, ini akan mempengaruhi pemilihan calon-calon pemerintah dalam PRU yang akan datang.

6- Mungkin akan ada yang berkata, wujudkah demonstrasi yang ‘aman’? Sefaham saya, istilah demonstrasi merujuk kepada perhimpunan aman, tetapi jika kerosakan berlaku, ia bukan demonstrasi, tetapi rusuhan. Dan jika ditinjau video-video demonstrasi di Malaysia, siapa sebenarnya yang mencetuskan keganasan? Jadi sebetulnya, ‘perhimpunan’ polis-polis itu yang patut diharamkan, kerana mereka adalah punca huru-hara.

======

Saya terbaca komen teman saya di ‘wall’ facebook-nya.

Siapa yang boleh jamin 100% perhimpunan esok adalah perhimpunan yang damai?

Saya terdiam. Dan saya hanya mampu terfikir, siapa pula yang boleh menjamin memandu di jalan raya itu 100% selamat?

Read Full Post »