Feeds:
Posts
Comments

Archive for March 14th, 2009

Apple of My Eye

BismiLLah…

Minggu ini minggu ke-6 posting kami di Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan. Serasa seperti begitu sebati dengan jiwa. Manakan tidak, belajar tentang wanita juga bermakna belajar tentang diri sendiri. Seronok juga menjadi obsess dengan kaum sendiri. Oh, don’t misunderstand me. I’m genotypically, phenotypically and ‘mentally’ XX.

Namun belakangan ini, jiwa saya menjadi sebak dan resah melihat pesakit yang mengandung anak luar nikah, dan yang dimasukkan ke hospital untuk siasatan lanjut selepas diperkosa. Ada juga yang meminta perlindungan hospital daripada ‘perbuatan’ saudara sendiri. Saya bukan tidak tahu hakikat bekerja dalam bidang ini pasti akan menemukan saya dengan kes-kes sebegini, cuma saya masih belum bersedia untuk berhadapan dengan semua ini. Kadang-kadang saya merasakan musibah yang menimpa mereka lebih meruntun jiwa saya berbanding dengan pesakit yang menghidap barah. Mungkin saya silap, dan masih mentah dalam menilai, tapi itulah yang bermain-main di jiwa saya. Hilang maruah, hilang segala-galanya. Kasihan!

Sebetulnya, bukanlah semua kes yang dilaporkan itu benar-benar genuine. Ada yang benar-benar menjadi mangsa. Ada juga yang ‘memangsakan’ diri sendiri. Ada yang pernah menjadi mangsa, tetapi merelakan diri pada ajakan seterusnya. Dan tidak kurang juga yang mengaku diperkosa semata-mata untuk menutup malu apabila terlanjur sebelum berkahwin dan dimasukkan ke hospital kerana komplikasi mengandung.

Kata teman saya, dunia ini sudah di akhir zaman!

Professor kami menggalakkan kami untuk berbual-bual dengan pesakit sebegini dan mengumpul maklumat latar belakang sosial mereka. Katanya, seorang doktor bukan saja mengurus luaran pesakit, malah perlu memainkan peranan sebagai kaunselor untuk mengurusi emosi pesakit yang barangkali terganggu akibat penyakit yang dihadapinya. Ya, kerja ini tidak mudah. Kami pernah cuba-cuba untuk bercakap dengan pesakit-pesakit ini. Tapi kadang-kadang bahasa yang digunakan terasa ‘sumbang’. Bimbang tersalah cakap, akhirnya menamatkan perbualan.

Kes-kes ini mengingatkan saya pada sebuah karya Patrick Redmond bertajuk ‘Apple of My Eye’ yang saya beli semasa Winter sale di Manchester. Kisah yang membuatkan saya sedih dan marah.

Susan, sekitar 7-8 tahun,  di’perguna’kan oleh bapa tirinya -seorang bekas paderi yang disegani dan dihormati- selama beberapa tahun. Ibu kandungnya yang mengetahui hal tersebut tidak menghalang, malah, menyalahkan anaknya apabila suaminya mula marah-marah. Susan tidak pernah mengetahui bahawa apa yang dilakukan oleh bapa tirinya itu merupakan satu salah laku sehinggalah dia meningkat remaja. Implikasinya, dia tidak berasa malu untuk menerima ‘ajakan’ lelaki.Dan daripada seorang anak yang berjiwa lembut, Susan berubah menjadi gadis yang memberontak akibat konflik yang pelbagai dan begitu berat untuk ditanggung oleh seorang anak kecil yang masih belum mampu menilai baik dan buruk!

Berbekalkan dendam, akhirnya Susan membunuh bapa tirinya untuk menyelamatkan anak jirannya yang berumur 5 tahun yang dianggap seperti adiknya sendiri daripada perangkap bapa tirinya.


Ya Allah, dengan sifat pengasihMu, lindungi kami daripada segala perbuatan jahat manusia, jin dan syaitan yang terkutuk. Amin.

Read Full Post »