BismiLLah…

Bukan gambar sebenar
“Aku puasa, tapi nak makan juga, wajib buka sebab makanan dah terhidang.”
Saya memandang empunya suara. Diam. WAJIB berbuka? Saya memberontak. Ya, saya faham maksud rakan seperjuangan saya itu. Dia bukan bermaksudkan wajib dari segi hukum, tapi lebih kepada memperkatakan tentang adab di dalam majlis makan-makan. Tapi disebabkan saya tidak berpuas hati dan berkeras mahu meneruskan puasa (sunat) saya (walaupun saya sedar, kebanyakan ulama’ berpendapat lebih afdhal berbuka puasa), lantas saya berbisik kepada sahabat saya yang turut berpuasa,
“Sejak bila pula wajib berbuka? Sedangkan semasa walimah juga ada kelonggaran untuk kita meneruskan puasa. Yang wajib hanya memenuhi jemputan!“
Sabda Rasulullah s.a.w. “Barang siapa yang dijemput menghadiri jamuan makan sedangkan ia berpuasa maka hendaklah ia menyahuti jemputan itu dan jika ia mahu ia boleh makan dan jika ia tidak mahu ia boleh tinggal.”
Sabda Rasulullah s.a.w. “Barang siapa yang dijemput kepada jamuan perkahwinan atau sebagainya maka hendaklah ia menyahutinya.” [Muslim]‘.
‘Ah, lagipun, kami ber-30. Tak mungkin penganjur perasan kalau kami tak makan.’
Tiba-tiba;
“Eh, yang tu kenapa tak makan?” (Merujuk kepada kami berempat, termasuk PS yang masih kenyang bersarapan pagi tadi). Saya diam.
“Puasa!” Jerit sahabat saya. Tapi barangkali dewan agak bising, Cikgu K, Penyelia Pusat Kanak-kanak Istimewa itu tidak dapat menangkap butiran perkataan sahabat saya.
“Jangan risau, makanan kat sini semuanya halal!”
Pecah ketawa kami. Teman-teman semuanya memandang. Muka saya merona merah. Malu. Dan pastinya, teman saya yang awal-awal lagi sudah mengingatkan kami tersenyum menang. Kami bertiga-tiga menuju ke meja hidangan. Sambil menyendukkan makanan untuk kami, dia bertanya sebab kami tidak makan. Kami berterus terang.
“Oh, puasa Khamis nantilah ye?” Kasihan Cikgu K, kami mengangguk. Moga-moga dia tidak berkecil hati atau serba-salah. Kami memang tidak tahu-menahu ada sesi makan-makan sebelum tiba di pusat ini pagi tadi. Memang saya ada terfikir, bagaimana kalau ada yang menyangka kami tidak makan kerana khuatir tentang halal-haram makanan di sini. Tapi saya tidak menyangka, ia benar-benar berlaku!
Ya Allah, ampunkan kami, mudah-mudahan kami tidak menjadi fitnah terhadap agama kami. Amin.
p/s: Kepada teman yang mengingatkan (if somehow you come across my blog), terima kasih atas peringatan. Saya tidak marah, tapi malu kerana ’sombong’ dengan pegangan sendiri. Moga ia menjadi pengajaran buat kita semua.
