BismiLLah…
Zionisme vs Judaisme (Dr. Azzam Tamimi)
Dr. Azzam mengungkapkan kekecewaan beliau terhadap rata-rata umat islam sekarang yang memandang sama rata antara Zionis dan Yahudi. Malah, beliau turut menegur KITA yang menggunakan ayat al-Quran dalam konteks yang salah untuk menjustifikasikan kebencian kita terhadap Yahudi. Walhal, bukan semua Yahudi itu seperti yang kita bayangkan. Ya, Yahudi tidak sinonim dengan Zionis. Seharusnya kita menghormati orang Yahudi selagi mana mereka tidak memerangi kita. Bukankah Allah memerintahkan kita agar berbuat baik sesama manusia?
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mensekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah terhadap kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, orang yang dalam perjalanan dan hamba sahaya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri” (Ali ‘Imran: 36).
Dr. Azzam menyeru kita, umat Islam agar membetulkan ‘mindset’ kita, dan memisahkan istilah Yahudi dan Zionis, kerana ‘mindset’ yang salah akan menyukarkan proses perdamaian antara Muslim dan Yahudi. (NB: perdamaian di sini bukan bermaksud perjanjian perdamaian yang dilakukan oleh barat) Ya, kalau kita meneliti sejarah silam, orang Yahudi dan Islam pernah berada dalam satu masyarakat yang sama, di bawah pemerintahan yang sama tanpa masalah. Gerakan Zionislah yang bertanggung jawab terhadap krisis perkauman (dan keagamaan) antara Yahudi dan Islam.
Menurut beliau lagi, dahulunya kebanyakan Yahudi serta “ulama’-ulama’”nya membenci Zionis kerana ia bercanggah dengan ajaran Thalmud. Malah, Yahudi Ortodoks (Naturei Karta) menganggap Theodor Herzl dan Zionis lainnya sebagai ‘murtad’. Zionis adalah gerakan ‘racist’ yang menyeru kepada penubuhan negara Yahudi. Mereka menggunakan doktrin agama seperti ‘Land of Promise’ dan ‘chosen people of God’ untuk mendapat sokongan daripada Yahudi.
Terdapat 3 perkara penting (the three covenants) dalam Thalmud;
- Tidak pulang ke Palestin sebelum kedatangan ‘Messiah’,
- tidak terlibat dalam peperangan dengan bukan-Yahudi (Goyim) kerana sejarah menunjukkan kekalahan demi kekalahan tentera Yahudi dalam peperangan,
- tidak berdoa agar ‘Messiah’ mereka muncul hinggalah tiba waktunya.
Walaupun pada mulanya Yahudi menentang ideology Zionis yang melanggar Thalmud, namun peristiwa Holocaust memaksa mereka akur kepada keperluan penubuhan negara bangsa Yahudi. Ya, ramai pengkaji searah berpendapat peristiwa Holocaust adalah batu loncatan kepada kejayaan Zionis dan penubuhan negara haram Israel. Dan kini, tidak sedikit daripada bangsa Yahudi yang akhirnya mengasosiasikan agama dan bangsa mereka dengan Zionisme.
Saya rasa terpukul, baru beberapa minggu sebelum konvensyen ini, kami berbincang tentang Protokol Zionis (Protocols of the Elders of Zion), dan hari ini (hari konvensyen) Dr. Azzam menyatakan bahawa protocol itu palsu! Anda boleh menggunakan sumber internet untuk mencari kajian ahli sejarah dan akademik berkenaan protocol ini. (Sila klik sini, sini dan sini atau sini) Beliau menegur sikap kebanyakan kita yang merujuk dan menyebarkan protocol tersebut tanpa mengkaji sumbernya. Dahulu, protocol ini digunakan untuk menjustifikasi tindakan German yang menyembelih orang-orang Yahudi (Holocaust). Walhal, pada waktu yang dikatakan protocol ini ditulis, orang Yahudi masih lemah dan ditindas, dan Zionis juga masih baru dan ditentang oleh kebanyakan Yahudi. Protokol itu terlalu sempurna untuk ditulis oleh Zionis pada waktu itu.
Beberapa nasihat Dr. Azzam kepada kita, Muslim:
- Mengkaji punca konflik Palestin-Israel ke akar umbinya.
- Bersikap adil terhadap Yahudi (i.e. treat them with regard to the people of the book)
- Membuka peluang untuk berdialog dengan pro-Israel, khususnya di barat
- Tidak menggunakan isu agama semata-mata untuk mendapatkan sokongan terhadap Palestin, tapi kaitkan juga dengan isu kemanusiaan seperti isu Vietnam dan kekejaman Amerika, Afrika Selatan dan Apartheid.
- Kita harus (mesti) percaya bahawa agenda Zionis akan berakhir. Namun, kejatuhan Zionis bukan bermakna pengakhiran Yahudi, kerana punca permasalahan kita hari ini bukanlah Yahudi, tetapi Zionis. Dan Yahudi berhak menetap di mana mereka berada, selagi mana mereka tidak memerangi rakyat setempat dan tempatan.
